A) Dengki Dan Irihati Biarlah Pada Tempatnya
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.
Huraian
1. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan Sahaja.
2. Islam tidak membenarkan orang yang mengeluarkan hukum tanpa terlebih dahulu merujuk kepada al-Quran dan Hadith, sebaliknya melayani tekanan hawa nafsu dan kepentingan diri sendiri semata-mata.
3. Islam melarang umatnya berperasaan cemburu buta dan iri hati terhadap sesama manusia melainkan didalam dua perkara:i) Merasa iri hati terhadap orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya serta mengajarkannya pula kepada orang lain.ii) Orang yang dikurniakan harta dan membelanjakan hartanya itu dijalan yang diredhai oleh Allah.
Riwayat Hadith al-Bukhari
B) Rasulullah Tidak Memberatkan Umatnya
Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w solat malam di kamarnya, padahal dinding kamar itu rendah (pendek) sehingga orang lain dapat melihat baginda. Kerana itu mereka solat sepertimana baginda. Setelah hari pagi, mereka memperkatakan hal itu. Malam keduanya, nabi solat lagi. Orang lain pun solat juga seperti baginda. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam dan sesudah itu baginda solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah Subuh, orang ramai menanyakan hal tersebut kepada baginda. Jawab baginda:”Aku takut kalau-kalau kamu menganggap solat malam itu wajib.”
(al-Bukhari)
C) Panduan Bagi Orang Yang Diuji
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.”
Riwayat Ibn Abi Dunya
HuraianPengajaran Hadis:
i) Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
ii) Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
iii) Imam al-Ghazali pula berkata:” Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji.”
iv) Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.
0 comments:
Post a Comment