Kita akan mula berpuasa tidak lama lagi. Marilah kita sama-sama mengikuti Hadis Rasullah s.a.w mengenai Ibadat Puasa Di Bulan Ramadan. Marilah kita meningkatkan amal ibadat kita di bulan ramadan yang mulia semuga kita mendapat berkat dan hidayah.
1. Hadis Riwayat Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu
2. Hadis Riwayat Ibnu Umar r.a:
Nabi s.a.w telah menyebut tentang bulan Ramadan dengan sabdanya: Janganlah kamu berpuasa sebelum kamu melihat anak bulan Ramadan dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat anak bulan Syawal. Sekiranya ia dilitupi awan, hendaklah kamu menghitungnya
3. Hadis Riwayat Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya
4. Hadis Riwayat Sahl bin Saad r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa
5. Hadis Riwayat Saidatina Aisyah r.a katanya:
Hamzah bin Amru Al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai masalah berpuasa dalam perjalanan iaitu musafir. Baginda bersabda: Sekiranya kamu ingin berpuasa teruskanlah dan jika kamu ingin berbuka, berbukalah
6. Hadis Riwayat Sahl bin Saad r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya
7. Hadis Riwayat Ibnu Abbas r.a:
Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Ibuku telah meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti selama sebulan. Baginda bertanya kepada wanita itu dengan sabdanya: Bagaimana pendapatmu jika ibumu itu masih mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarnya? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dibayar
8. Hadis Riwayat Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa
9. Hadis Riwayat Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun
10. Hadis Riwayat Imran bin Husain r.a:
Nabi s.a.w telah bersabda kepadaku atau kepada seorang lelaki: Adakah kamu berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban? Aku menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Kalau begitu, berpuasalah selama dua hari
11. Hadis Riwayat Abu Said Al-Khudriy r.a:
Rasulullah s.a.w pernah beriktikaf iaitu berada di dalam masjid selama sepuluh hari pada pertengahan bulan Ramadan. Selepas berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki hari atau malam yang kedua puluh satu baginda pulang ke rumahnya. Para sahabat yang beriktikaf bersama-sama baginda juga turut pulang. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda di bulan Ramadan yang sama dan waktu yang sama di mana baginda pulang ke rumah, setelah menyuruh atau mengajak mereka supaya selalu tabah terhadap kehendak Allah dengan sabdanya: Aku telah beriktikaf selama sepuluh hari dan kemudian aku lanjutkan selama sepuluh hari yang berikutnya. Oleh itu sesiapa yang ingin melanjutkan iktikaf bersamaku, tetaplah berada di tempat iktikafnya. Aku telah bermimpi melihat Lailatulqadar tetapi aku terlupa waktunya. Carilah ia dalam sepuluh hari ganjil yang terakhir. Pada waktu itulah aku melihat aku sedang sujud pada air dan tanah. Abu Said Al-Khudriy r.a berkata: Kami dibasahi hujan pada malam hari yang kedua puluh satu. Masjid telah basah, begitu juga dengan tempat sembahyang Rasulullah s.a.w. Aku melihat ke arah baginda setelah selesai mendirikan sembahyang Subuh. Wajah baginda basah terkena lumpur dan air

0 comments:
Post a Comment